Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Seorang wanita ditemui dalam keadaan berlumuran darah selepas ditetak seorang lelaki dengan sebilah parang di Jalan Raja Uda di sini hari ini. Foto TVS.

Wanita maut ditetak dengan parang

BUTTERWORTH, 19 Dis: Seorang wanita maut selepas ditetak oleh seorang lelaki dengan sebilah parang dipercayai dalam perselisihan faham di Jalan Raja Uda di sini hari ini.

Mangsa warga tempatan berusia 42 tahun yang ditemui dalam keadaan berlumuran darah disahkan meninggal dunia pada pukul 11.58 pagi selepas dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ).

Lelaki tikam kenalan wanita hingga tembus jantung selepas makan tengah hari

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Asri Shafie berkata, polis menerima laporan daripada orang awam berhubung kejadian itu kira-kira pukul 11.10 pagi sebelum pasukannya bergegas ke lokasi.

Katanya, berdasarkan maklumat, seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun didakwa telah menetak wanita itu di belakang leher dengan sebilah parang.

“Siasatan lanjut mendapati, kejadian itu berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran.

“Turut ditemui, kesan tetakan pada belakang leher dan bahu kiri mangsa, manakala mayat telah dihantar ke Jabatan Forensik HSJ untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek lelaki yang diselamatkan orang awam selepas terjun dari Jambatan Pulau Pinang hari ini. Foto JBPM.

Tambah Mohd Asri, suspek telah melarikan diri sejurus kejadian itu dan bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang dipercayai cuba untuk membunuh diri.

“Dia bagaimanapun berjaya diselamatkan orang awam dan mengalami kecederaan.

“Suspek kemudiannya ditahan oleh Bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang ketika menerima rawatan di hospital,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau meminta orang awam yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu untuk menghubungi pegawai penyiasa kes, Asisten Superintendan (ASP) Nasrina Darus di talian 04-576 2222 (sambungan 2275) atau ke mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian seorang lelaki terjun dari Jambatan Pulau Pinang di Kilometer 3.4 arah pulau pada pukul 11.23 pagi.

“Lelaki itu meninggalkan sebuah motosikal jenis SYM bersama dokumen pengenalan diri, namun berjaya diselamatkan nelayan,” katanya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan