SIBU, 19 Dis: Polis mengesahkan penemuan tengkorak manusia di dalam parit di Jalan Bukit Assek, di sini semalam.
Tengkorak itu ditemui oleh pekerja yang sedang melakukan kerja-kerja pembersihan parit sekitar 10 pagi.
Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner (ACP) Zulkipli Suhaili berkata, sepasukan pegawai dan anggota polis dari Balai Polis Sentral Sibu diarahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan setelah menerima maklumat.
“Setakat ini, kita belum mempunyai sebarang petunjuk berhubung tengkorak yang ditemui itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Zulkipli, pekerja menjalankan kerja-kerja pembersihan di situ selepas menerima aduan orang awam mengenai parit tersumbat.
“Tengkorak telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Sibu untuk siasatan lanjut.
“Setakat ini, kes diklasifikasikan sebagai Laporan Mati Mengejut,” katanya.
Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga atau mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta untuk menghubungi Ketua Polis Balai Sentral Sibu, Asisten Superintendan (ASP) Binsin Lunjong di talian 0178025675 atau balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – TVS