KOTA SAMARAHAN, 19 Dis: Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak akan terus menyokong Institut Penyelidikan Tanah Gambut Tropika Sarawak (TROPI) melaksanakan penyelidikan dan memulihara tanah gambut tropika di Sarawak.
Menterinya, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, usaha TROPI selaras dengan Pelan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030 yang melibatkan pembangunan mampan, kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial serta kelestarian alam sekitar.
“Saya akan memberikan sokongan padu untuk pembangunan dan pertumbuhan TROPI sebagai sebuah institusi penyelidikan dan pembangunan yang berkesan dan cekap di Sarawak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ulang Tahun ke-15 TROPI serta Malam Appresiasi 2023, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah TROPI, Datu Dr Lulie Melling, serta Setiausaha Tetap MEITD, Datu Azmi Bujang.
Pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini, Roland Sagah memaklumkan, TROPI mencatatkan kejayaan membanggakan apabila menjadi satu-satunya agensi saintiffik di Malaysia yang terlibat dalam Projek Penyelidikan Biodiversiti Rangkaian Pemerhatian (BON).
TROPI turut menerima jemputan untuk menyertai projek Living Lab for Wetland Forests (LiWeFor) dan Projek PeatlandN2O (Nitrous oxide) yang merupakan satu kolaborasi antarabangsa dengan Universiti Tartu, Estonia, Universiti Helsinki (Finland) dan Institut Teknologi Karlsruhe (German), dibiayaai oleh Lembaga Penyelidik Eropah (ERC).
Pada 2024, TROPI dijangka akan menyertai kongres antarabangsa Asia Oceania Geosciences Society (AOGS) di Korea Selatan dan Centennial of the International Union of Soil Science Society Congress di Itali. – TVS