KUALA LUMPUR, 19 Dis: Atlet boling remaja kebangsaan berasal dari Sarawak, Nur Hazirah Ramli berjaya meraih dua gelaran juara antarabangsa dalam tempoh empat hari.
Atlet berusia 20 tahun dari Kuching itu pada Jumaat lepas merangkul gelaran Juara GenZ Perempuan pada Kejohanan Antarabangsa Bawah 22 Tahun Junior All – Stars Kali Ke-23 di Sunway Megalanes, Bandar Sunway.
Dalam laluannya bergelar juara, Nur Hazirah, pemenang dua pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 menewaskan pemain Korea Selatan, Kim Bo Ah di tempat kedua dan rakan senegerinya, Gillian Lim di tempat ketiga.
Catatan 2,163 pin yang dilakukan Nur Hazirah bagi 10 permainan itu tidak mampu dicabar oleh sembilan peserta akhir lain sekali gus melayakkan dia membawa pulang hadiah kemenangan RM5,000.
Sehari sebelumnya, Nur Hazirah turut mara ke peringkat empat terbaik kategori Terbuka Remaja Perempuan kejohanan sama.
Namun langkahnya tersekat pada peringkat separuh akhir dan menamatkan acara itu di tempat ketiga bersama ganjaran kemenangan RM5,000.
Semalam bertempat di Pusat Boling Megamall, Pulau Pinang, Nur Hazirah meneruskan rentak cemerlang apabila muncul juara remaja perempuan Pesta Boling Antarabangsa Pulau Pinang Ke-49.
Dia menamatkan pusingan akhir lapan permainan dengan catatan 1,606 untuk menewaskan seorang lagi wakil Sarawak, Lavinia Kho.
Nur Hazirah berjaya meraih tambahan hadiah kemenangan RM2,500 di atas kejayaan semalam.
Sementara itu, ketika dihubungi TVS, Nur Hazirah mengakui dia sangat bersyukur kerana berjaya meraih kejuaraan berganda.
“Ketika final untuk dua kejohanan itu, kesemua finalis mempunyai reputasi masing – masing, saya akui terima tentangan sengit namun itulah yang membuatkan pencapaian ini bertambah manis,” katanya.
Pada masa sama, Nur Hazirah mengakui berpuas hati kerana menamatkan tahun pertamanya dalam skuad remaja kebangsaan dengan beberapa kejayaan.
“Namun saya tidak akan leka malah akan lebih fokus untuk hadapi kejohanan akan datang,” katanya.
Pada 2024, Nur Hazirah berkata, dia akan memberi tumpuan kepada dua kejohanan antarabangsa iaitu Piala Dunia Remaja di Lima, Peru dan Kejohanan Remaja Dunia.
“Selain itu, saya mahu mewakili Sarawak pada SUKMA 2024 di tempat sendiri,” katanya.
Pada tahun ini, Nur Hazirah turut muncul Juara Master Remaja Bawah 21 Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Thailand, Juara Remaja Kejohanan Boling Terbuka Antarabangsa Malaysia 2023, Naib Juara Remaja Terbuka Filipina 2023 selain meraih pingat gangsa Kejohanan Boling Remaja Asia 2023 di Thailand. -TVS