Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain. Foto fail TVS

Keputusan dakwa pegawai kanan, bukti ketelusan siasatan polis – KPN

ByBernama

KUALA LUMPUR, 18 Dis: Keputusan Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa pegawai kanan polis yang dipercayai terlibat dalam kes kemalangan maut seorang pelajar tingkatan lima di Meru Jumaat lepas di bawah kesalahan membunuh membuktikan ketelusan pihak berkuasa dalam menjalankan siasatan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husin berkata, tindakan mendakwa pegawai berpangkat DSP itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaaan di Mahkamah Majistret Ipoh diputuskan Jabatan Peguam Negara berdasarkan bukti dan keterangan yang diperoleh hasil siasatan menyeluruh oleh pegawai penyiasat.

“Keputusan ini memperlihatkan ketelusan polis dalam melakukan siasatan terhadap sebarang kes jenayah termasuk melibatkan pegawai kanan polis. Siasatan kes ini dikendalikan oleh Ketua Polis Negeri dan Ketua Polis Daerah Ipoh bersama pasukan siasatan dengan baik dan berkredibiliti.

“Saya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana anggota atau pegawai yang melakukan jenayah, saya akan pastikan siasatan yang telus dan adil dijalankan bagi menjaga nama baik pasukan ini,” katanya kepada Bernama malam tadi.

Beliau mengulas kenyataan Jabatan Peguam Negara yang memaklumkan akan mendakwa suspek yang dipercayai terlibat dengan kes membabitkan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jati itu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Razarudin berkata, pegawai itu akan ditahan kerja sebaik sahaja didakwa di mahkamah hari ini.

Pada masa sama, beliau mahu setiap pegawai dan anggota polis mengambil iktibar serta pengajaran daripada kes tersebut.

Beliau berkata, setiap anggota pasukan keselamatan itu perlu sentiasa menjaga nama baik pasukan dan tidak berselindung di sebalik pakaian seragam polis apabila melakukan jenayah.

Pada 15 Disember lepas, tular di media sosial seorang pelajar lelaki maut selepas motosikal yang dinaiki dilanggar dan diseret oleh sebuah kereta di Jalan Taman Jati berhampiran SMK Jati di Meru, Ipoh dipercayai dipandu oleh seorang pegawai kanan polis berusia 44 tahun.

Kemalangan pada kira-kira 12.30 tengah hari itu menyebabkan Muhammad Zaharif Affendi, 17, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian dada dan abdomen.

Susulan itu, pegawai kanan polis berkenaan ditahan reman selama tiga hari bermula semalam bagi membantu siasatan. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan