Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Keadaan pasar basar di Semporna, Sabah.Foto, Envato.

Penyelidik UMS, UNIMAS bantu tangani isu harga barang Sabah, Sarawak dan Labuan

ByBernama

KOTA KINABALU, 17 Dis:  Jawatankuasa khas bagi menstabilkan harga barang di Sabah, Sarawak dan Labuan akan bekerjasama dengan penyelidik dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) bagi mencari mekanisme komprehensif untuk mengatasi isu tersebut.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata peranan penyelidik universiti awam itu amat penting dalam menggariskan strategi bagi menggerakkan jawatankuasa berkenaan dalam menangani isu harga barang serta kos sara hidup di Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Kita bukan hanya melihat kepada inisiatif kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri tetapi kita juga akan membawa masuk dalam jawatankuasa iaitu universiti khususnya UMS dan UNIMAS.

“Mereka ada pakar yang kita bawa duduk bersama menggariskan strategi dan mekanisme bagaimana kita menggerakkan jawatankuasa ini supaya rakyat di Sabah, Sarawak dan Labuan terbeban, dapat dibantu,” katanya ketika ditemui pemberita pada program Sabah Street Fashion Show 2023 di sini hari ini.

Beliau berkata kementeriannya selaku urus setia jawatankuasa khas itu komited untuk memastikan ia dapat digerakkan tahun depan di bawah pimpinan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dengan kerjasama kedua-dua universiti.

Armizan berkata pihaknya sedang menyiapkan terma rujukan kepada jawatankuasa khas itu untuk dilaksanakan pada tahun depan.

“Saya tidak mahu terlalu bercita-cita tinggi bahawa kita boleh menyelesaikan semua isu serta-merta. Kita kena ambil pendekatan jangka pendek, sederhana dan jangka panjang kerana ia bukanlah isu baharu.

“Sejak dulu lagi memang Sabah, Sarawak dan Labuan berdepan isu harga barang tinggi berbanding Semenanjung. Kalau pun kita tidak boleh seragamkan sepenuhnya (harga barang) tetapi bagaimana kita dapat menstabilkan harga,” katanya.

Mengenai program hari ini, Armizan berkata ia adalah platform terbaik kepada pereka fesyen tempatan untuk mengetengahkan hasil kreativiti khususnya pakaian batik moden bermotifkan etnik dan budaya Sabah.

Beliau juga mahu pereka fesyen tempatan khususnya di Sabah supaya memanfaatkan sepenuhnya dasar kerajaan berkaitan pemakaian batik dengan mengeluarkan lebih banyak produk pakaian batik sekali gus memperkasa inisiatif kempen beli barang buatan tempatan.

Menurut Armizan, kementeriannya akan membuat penambahbaikan program karnival barangan Malaysia dianjurkan sempena kempen itu, yang akan memasuki tahun ke-40 penganjurannya pada tahun depan.

“Justeru, saya ingin mengajak semua pihak termasuk pereka fesyen tempatan untuk bersama kami memikirkan pendekatan bagi melaksanakan program karnival barangan Malaysia tahun depan. Kita perlu input apakah bentuk niche dan kaedah bagi menambah baik pelaksanaannya,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan