MIRI, 16 Dis: Kerajaan Sarawak komited melakukan pelaburan besar bagi tujuan pembangunan infrastruktur di wilayah ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pembangunan kemudahan asas itu bukan sahaja demi keselesaan rakyat bahkan bagi pelancong yang datang ke Sarawak.
“Pada 2024, jalan yang menghubungkan Miri ke Marudi melalui jambatan baharu akan siap manakala jaringan jalan dari Mulu ke Long Terawan dijangka siap menjelang 2030.
“Kerajaan juga sedang membina jalan dari Marudi ke Long Terawan yang bernilai lebih RM1 bilion,” katanya sambil menambah projek berkenaan akan menghubungkan Mulu melalui jalan darat.
Dalam masa sama, beliau juga memberitahu tujuan Kerajaan Sarawak bertekad untuk menubuhkan syarikat penerbangannya sendiri.
“Sarawak berada di dalam pulau dan memerlukan penerbangan sebagai mod perhubungan.
“Oleh itu, Kerajaan Sarawak kini dalam proses untuk mengambil alih operasi MASWings,” ujar beliau.
Mengambil contoh Singapura dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Abang Johari berkata, kedua negara berkenaan telah berjaya menjadikan Changi dan Dubai sebagai hab pengangkutan utama antarabangsa melalui pelaburan mereka dalam pembangunan infrastruktur udara.
“30 tahun dahulu, Dubai hanyalah sebuah padang pasir. Melalui pelaburan dalam syarikat penerbangan Emirates, Dubai kini menjadi hab utama di Timur Tengah,” katanya.
Terdahulu, Abang Johari merasmikan Hotel Mercure Miri City Centre di sini, hari ini.
Mengenai pembukaan hotel terbabit, beliau berkata, sektor pelancongan merupakan antara sektor utama yang ditekankan dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030.
“Saya berbesar hati kerana terdapat penglibatan daripada sektor swasta untuk memajukan sektor pelancongan kita,” katanya dalam ucapan beliau.
Turut hadir, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Timbalannya, Datuk Sebastian Ting serta Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin.- TVS