KUCHING, 16 Dis: Gambus merupakan alat muzik dari negara Arab boleh diketengahkan sebagai tarikan pelancongan di Sarawak.
Menurut Pegawai Kebudayaan Majlis Seni Sarawak, Raymond Siau Aik Song, irama musik gambus perlu diketengahkan semula dalam industri muzik tempatan untuk menarik perhatian pelancongan dengan keunikan seni Sarawak.
Katanya, pelancong asing lebih tertarik pada sesuatu yang unik ditampilkan di tempat lain seperti Bumi Kenyalang ini.
“Ia satu keunikan kepada pelancong dari luar supaya mereka melihat seni yang lain daripada yang lain sebab pelancong lebih suka melihat benda tradisional berbanding benda moden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Album Kompilasi Juara Lagu Asli MSS 2023 di sini, hari ini.
Selain itu, beliau turut menyeru agar semua penggiat seni khasnya di Sarawak meneliti kualiti bakat yang ada pada anak muda tempatan.
Jelasnya, ia merupakan satu usaha untuk memastikan kemahiran seni ini tidak terus lenyap ditelan zaman.
“Dalam setiap persembahan seni, perlu ada elemen pendidikan dan penyelidikan yang diterapkan bagi meneruskan bakat ke masa hadapan, setiap penggiat seni tidak hanya tampil untuk memberi persembahan.
Namun, mereka sudah mempunyai ilmu pengetahuan atau kajian yang lebih lanjut berkenaan apa yang mereka ingin persembahkan seperti Gambus. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh Encik Narawi adalah bukan sekadar persembahan saja ini adalah penyelidikan dan juga pendidikan,” ujarnya.
Tambahnya, perkara tersebut merupakan satu inisiatif untuk penggiat seni mendedahkannya kepada generasi-generasi muda yang akan datang. -TVS