KUCHING, 15 Dis: Jumlah projek sakit menurun ke 17 ketika ini berbanding 96 projek dicatatkan pada Januari 2022.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, daripada 17 projek tergendala, empat merupakan projek Kerajaan Sarawak.
“Dalam berhadapan isu ini, kita sekarang menetapkan ‘One Month Rule’. Di bawah peraturan ini, kontraktor mesti memulakan kerja-kerja projek di tapak dalam tempoh sebulan selepas penyerahan projek.
“Jika gagal mematuhi peraturan, kita akan mengambil tindakan termasuk menamatkan kontrak,” katanya ketika berucap pada Majlis Malam Penghargaan dan Pra Krismas Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan di sini, malam tadi.
Hadir sama, isteri Uggah, Datu Doreen Mayang dan Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan, Datuk Aidel Lariwoo.
Menurutnya lagi, 2023 merupakan tahun cemerlang bagi kementerian itu susulan beberapa pencapaian yang dicapai.
Selain berjaya menurunkan jumlah projek sakit, MIPD juga telah meningkatkan kapasiti tenaga kerja Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dengan mewujudkan 414 jawatan baharu.
“Ini akan membolehkan pejabat bahagian masing-masing berhadapan cabaran peningkatan beban kerja supaya meningkatkan tahap kecekapan lebih tinggi dan penyampaian perkhidmatan lebih baik,” katanya.
Malah, MIPD telah menyediakan dana bagi kerja-kerja respons kecemasan terhadap infrastruktur rosak dengan nilai RM500 juta dan peruntukan dari Rancangan Malaysia Ke-12 sebanyak RM150 juta.
“Kita juga telah menubuhkan Unit Penyelenggaraan Infrastruktur Luar Bandar di kawasan Baram sebagai projek perintis.
“Jika ia terbukti berjaya, kita akan mengembangkannya ke kawasan lain di Sarawak. Unit ini sangat kritikal bagi kita dalam memberi perkhidmatan kepada rakyat,” katanya.
Tidak kurang penting untuk dicatatkan apabila Pelabuhan Bintulu diserahkan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Sarawak.
“Ini merupakan bukti kejayaan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam perjuangan menuntut hak Sarawak di bawah MA63,” ujarnya. – TVS