KUCHING, 15 Dis: Golongan belia di Sarawak digesa agar aktif seiring dengan perkembangan teknologi dunia khususnya dari sudut ekonomi digital yang dilihat akan menjadi tunjang kepada kemajuan negeri dan negara.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Belia Bersatu Sarawak (SABERKAS), Safiee Ahmad berkata, perkembangan semasa memerlukan golongan belia lebih cakna terhadap ekonomi digital bagi memastikan tidak ketinggalan.
“Kita lihat untuk kekal relevan dalam konteks sebuah badan bukan kerajaan (NGO) seperti SABERKAS ini, kita perlu sentiasa berubah mengikut perkembangan semasa.
“Kalau kita tidak berubah, mungkin kita akan terlepas peluang. Contohnya dalam ekonomi digital, terdapat banyak manfaat daripada perubahan zaman yang perlu kita manfaatkan khususnya kepada golongan belia,” katanya menerusi program Dialog TVS yang disiarkan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Safiee berkata, pelbagai program dilaksanakan SABERKAS di peringkat akar umbi dalam usaha memperkasakan pengetahuan golongan belia dalam dunia digital.
“Kita melaksanakan kursus-kursus yang berkenaan dan begitu juga mengenai kesedaran kerana jika kita lihat dalam era digital ini, ia bukan hanya dalam konteks digital sahaja, tetapi sebenarnya ada juga masalah-masalah lain.
“Pada masa kini, dunia digital turut mempunyai banyak isu lain seperti isu scammer dan isu yang melibatkan penyalahgunaan digital,” katanya. – TVS