DARO, 14 Dis: Nasib sembilan sekeluarga yang hilang tempat tinggal dalam tragedi kebakaran di Kampung Nangar Besar di sini pagi ini mendapat perhatian, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad.
Beliau bersama kakitangan Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) dan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Daro menziarahi keluarga berkenaan hari ini.
Pada masa yang sama, beliau menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran berkenaan.
“Jawatankuasa Bencana Daerah akan melihat keperluan lain bagi membantu mangsa berkenaan. Yang mustahak sekarang adalah segala dokumen penting yang tidak dapat diselamatkan perlu diuruskan terlebih dahulu.
“Saya berharap semoga mangsa tabah dengan dugaan yang menimpa,” katanya.
Kejadian kira-kira 5.15 pagi itu berlaku ketika semua mangsa berada di dalam rumah berkenaan.
Menurut bomba, kejadian disedari oleh seorang penghuni rumah yang ternampak api di bilik hadapan.
“Dia kemudiannya bergegas mengejutkan semua penghuni rumah lain sebelum kesemua mereka bergegas keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya. – TVS