KANOWIT, 14 Dis: Seorang penunggang motosikal maut dalam kemalangan membabitkan motosikal dan lori di Jalan Majau dekat sini pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kanowit, Arrahman Chik berkata, mangsa Belon Lanting, 59, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu lori berusia 60 tahun tidak cedera.
“Setibanya di lokasi, didapati kemalangan membabitkan lori dengan motosikal yang terpelanting ke laluan bertentangan.
“Pasukan penyelamat kemudian bertindak mengalihkan motosikal yang menghalang laluan utama dan membuat kerja-kerja pembersihan jalan raya,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Bomba menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 11.22 pagi.
Arrahman berkata mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. – TVS