GEORGE TOWN, 14 Dis: Bau busuk dari sebuah kediaman di Flat Lumba Kuda, Taman Lumba Kuda, Ayer Itam, membawa kepada penemuan mayat lelaki warga emas berusia 73 tahun.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.25 petang bagi khidmat membuka kunci rumah tersebut.
Katanya, penduduk di kawasan berkenaan membuat aduan berhubung bau busuk dari rumah lelaki yang tinggal bersendirian.
“Selepas berjaya membuka pintu rumah yang berkunci, bomba mendapati seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri bersama timbunan barangan kitar semula di hadapan pintu rumah.
“Mangsa dipercayai meninggal dunia sekitar empat hari lalu berdasarkan keadaan mayat dan terdapat cecair,” katanya kepada pemberita hari ini.
Ujar jurucakap itu, lelaki terbabit dipercayai mengumpul barangan kitar semula dan terpakai berdasarkan sampah berkenaan yang berselerakan di dalam rumah.
Katanya, mayat kemudiannya diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hospital Pulau Pinang di sini bagi urusan bedah siasat. – TVS