Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Produk pertanian termasuk kopi yang dihasilkan penduduk kampung dipromosi menerusi jenama LINAWA. Foto, Nicholas Daniel.

TULiP angkat martabat masyarakat Lun Bawang melalui LINAWA

BySalasiah Safian

LAWAS, 13 Dis: Program ke arah memartabatkan kehidupan atau TULiP yang merupakan inisiatif PETRONAS berjaya membantu penduduk di Kampung Punang Berayong hingga ke Long Luping di sini meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Di Long Sukang, produk pertanian yang dihasilkan oleh masyarakat setempat dipasarkan melalui jenama LINAWA, yang merupakan perkataan suku kaum Lun Bawang.

Antara mesin pembungkusan kopi sachet di Cabin Processing Long Sukang.
Foto, Nicholas Daniel (MARDI).

Salah seorang peserta yang juga Ahli Lembaga Koperasi Usahasama Sentral Long Sukang, Lionel Labo Baru berkata, kegiatan ekonomi para petani di sini kini lebih teratur menerusi pelancaran program berkenaan.

Katanya, petani yang mengusahakan kopi juga lebih bersemangat kerana adanya platform yang lebih jelas untuk memasarkan produk.

“Penglibatan dan penerimaan penduduk kampung baik, mereka mengharapkan hasil tani dapat dijual dengan mudah.

“Sebenarnya mereka telah mendapat latihan daripada Jabatan Pertanian namun tidak jaga pokok kopi disebabkan tiada pasaran.

“Sekarang kita tubuhkan koperasi untuk membeli biji kopi, jadi mereka lebih bersemangat,” katanya ketika ditemui media di Lawas baru-baru ini.

Sementara itu, Pegawai Penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) Nicholas Daniel berkata, pihaknya akan berhubung secara terus dengan masyarakat di kampung yang terlibat untuk mendapatkan bahan mentah seperti beras dan kopi.

Malah katanya, satu formula khas juga telah diwujudkan hasil daripada penyelidikan dan pembangunan yang dijalankan.

“Ia berjaya membuatkan ahli-ahli TULiP menghasilkan fasiliti pemprosesan yang dikenali sebagai ‘cabin processing’ di Long Sukang.

“Ia dilengkapi dengan mesin-mesin yang diperlukan untuk memproses lima produk LINAWA iaitu Beras Adan Putih, Beras Adan Merah, Beras Adan Hitam, Biji Kopi Panggang Arabica dan Kopi Pracampur yang diperbuat daripada Biji Kopi Arabica dan Beras Adan Hitam,” katanya.

Bercerita lanjut, Nicholas berkata, dalam fasa peralihan teknologi di Long Sukang, pihaknya memberikan pendedahan menerusi bengkel yang dianjurkan kepada masyarakat setempat.

“Peserta diberikan penerangan mengenai Akta Makanan serta pemprosesan melalui Amalan Pengilangan Yang Baik atau GMP,” jelasnya.

Para peserta katanya sudah mengadaptasi teknologi dan boleh mengendalikan peralatan dengan baik tanpa pengawasan malah kualiti produk yang dikeluarkan sentiasa terjamin.

Sementara itu, Universiti Teknologi PETRONAS selaku ketua projek turut memainkan peranan penting termasuk pemantauan serta memberikan bimbingan kepada para peserta.

Pengarah Institut Universiti Teknologi PETRONAS, Profesor Ts Dr Shahrina Md Nordin berkata, pihaknya teruja dengan pembangunan komuniti yang bertujuan untuk meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

“Kita mencari model yang sebenar untuk dilaksanakan dan bukan hanya melaksanakan projek Tanggungjawab Sosial Korporat.

“Kami mencuba untuk mengenal pasti komuniti yang mempunyai aspirasi yang tinggi untuk memajukan diri. Jadi salah satu masyarakat yang telah kami temui ialah masyarakat di Long Sukang,” katanya.

LINAWA merupakan inisiatif PETRONAS, dengan kerjasama Yayasan Hasanah, Universiti Teknologi Petronas (UTP), MARDI dan peduli insan sebagai sebahagian daripada produk akhir projek TULiP: LINAWA Inclusive Social Innovation For Wealth Creation.

Jenama itu ditubuhkan pada November 2022 dengan ujian perintis produk berlangsung pada November 2023. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan