KUCHING, 13 Dis: Sarawak mencatatkan tahun yang cemerlang bagi industri acara perniagaan apabila berjaya meraih 95 acara kebangsaan dan antarabangsa pada 2023, dengan impak ekonomi dianggarkan sebanyak RM346.5 juta, iaitu 139 peratus melebihi sasaran yang ditetapkan oleh Business Events Sarawak (BE Sarawak).
Dalam satu kenyataan hari ini, ia berkata dari 2024 hingga 2028, Sarawak bersedia untuk mengalu-alukan lebih 42,000 delegasi dengan anggaran perbelanjaan secara langsung para delegasi sebanyak RM188.3 juta dan hasil cukai yang diperoleh sebanyak RM20.8 juta.
“Bagi acara yang dianjurkan, Sarawak menjadi tuan rumah kepada 107 acara perniagaan, peningkatan tujuh peratus berbanding 2022,” katanya.
BE Sarawak berkata jumlah impak ekonomi daripada acara itu bernilai RM372 juta, dengan lebih 45,000 delegasi menyumbang RM202.2 juta kepada ekonomi, menjana RM22.3 juta untuk hasil cukai Sarawak.
“Angka-angka ini adalah peningkatan sebanyak 62 peratus berbanding tahun sebelumnya,” katanya.
Kenyataan itu dikeluarkan sempena majlis makan malam apresiasi Lembaga Pengarah BE Sarawak, yang dihadiri Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Pada majlis makan malam itu, Abdul Karim mengiktiraf pencapaian berkenaan dan memuji BE Sarawak serta industri yang terlibat kerana berjaya melakar kejayaan yang lebih tinggi pada tahun ini.
“Ketibaan delegasi dan impak ekonomi yang meningkat ini merupakan petanda jelas bahawa Sarawak kembali rancak pada tahap prapandemik, menunjukkan yang kami menyasarkan acara perniagaan yang betul berdasarkan Strategi Pembangunan Pasca-Covid-19 2030,” katanya.
Abdul Karim menambah industri acara harus terus aktif dalam memperjuangkan kecemerlangan kerana kerajaan Sarawak telah merancang untuk mengembangkan infrastruktur acara perniagaan bagi mendapatkan lebih banyak lagi acara di masa depan.