KUCHING, 13 Dis: Sesuai dengan peranannya sebagai mod pengangkutan menyeberang sungai dan produk pelancongan, perahu tambang yang beroperasi di Sungai Sarawak akan diberi nafas baharu menerusi Projek ‘Facelift’ Perahu Tambang.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata menerusi projek dua fasa itu, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM710,000 termasuk proses perlesenan, permit pengangkutan sungai, insurans serta peralatan keselamatan.
“Pengusaha perahu tambang diberikan latihan, perahu tambang dilesenkan, diberi Permit Pengangkutan Sungai termasuk perlindungan insurans serta dilengkapkan dengan alat keselamatan seperti jaket keselamatan, alat pemadam api dan juga peti pertolongan kecemasan,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan dibacakan Timbalan Menteri Pengangkutan (Sungai dan Laut) Sarawak, Dato Henry Harry Jinep pada Majlis Perasmian Kempen Keselamatan dan Kebersihan Sungai serta Majlis Penyampaian Peralatan kepada peserta Projek Facelift Perahu Tambang Fasa 2 Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) di sini, hari ini.
Projek Facelift Perahu Tambang dilaksanakan pada 2019 dan tahun ini merupakan fasa kedua dengan melibatkan 22 pengusaha perahu tambang.
Kerajaan Sarawak menerusi Old Kuching Smart Heritage (OKSHE) bekerjasama memelihara warisan ini dengan membiayai Projek Facelift Perahu Tambang.
Dengan menggunakan motif-motif etnik kaum di Sarawak serta pemasangan lampu menggunakan kuasa solar, ia menjadi daya tarikan kepada para pengunjung di Tebingan Sungai Sarawak.
Sehubungan itu, Lee turut memberitahu Lembaga Sungai-Sungai Sarawak dipertanggungjawabkan memastikan perahu tambang menerapkan elemen keselamatan. – TVS