KUCHING, 13 Dis: Acara Perasmian Tiang Bendera Sarawak yang tertinggi di Asia Tenggara akan memeriahkan sambutan Countdown 2024 yang bertema ‘Lets Celebrate Together’ di sini pada malam 31 Disember ini.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata acara khas itu nanti akan disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
“Setelah selesai perasmian tiang bendera’, persembahan khas sempena ambang tahun baru di sekitar sungai Sarawak akan dipertengahkan sebelum detik kiraan 2024 dimulakan.
“Pada detik kiraan 2024, para jemputan dan rakyat Sarawak akan menyaksikan ‘Musical Fireworks’,” katanya pada sidang media acara Countdown 2024 di sini, hari ini.
Menurut Abdul Karim, acara tahunan yang dianjurkan kementeriannya itu turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik untuk dipersembahkan kepada rakyat Sarawak.
Sebelum acara kemuncak pada malam 31 Disember 2023, pelbagai aktiviti kesenian akan diadakan di Tebingan Kuching
Antara yang menarik ialah acara acara seperti Senamrobik-Senam Kenyalang, Fiesta Karaoke Rakyat, Pameran dan Demonstrasi Seni Visual dan arca, persembahan Gendang Melayu Sarawak, persembahan Tradisional Peserta Kelas Bimbingan Seni Majlis Seni Sarawak (MSS), persembahan Yayasan Perpaduan/POTRES dan persembahan Simfoni Orkestra Negeri Sarawak (SONS) Junior yang akan bermula pada 8 pagi hingga 6 petang.
Dalam pada itu Abdul Karim juga menasihatkan kepada orang ramai untuk merancang perjalanan mereka bagi mengurangkan kesesakan jalan raya.
“Kalau boleh masyarakat di Samarahan dan Serian sebagainya datanglah dengan berkongsi kenderaan bagi mengurangkan kesesakan,”
Justeru itu Abdul Karim berharap agar acara “Countdown 2024” yang bertemakan “Lets Celebrate Together” ini akan berjalan dengan lancar serta dapat menghiburkan semua warga Sarawak. -TVS