BATU NIAH, 11 Dis: Seorang lelaki maut selepas tercampak keluar dari kereta manakala adiknya terselamat dalam kemalangan kendiri di jalan ladang berhampiran Ladang Chart Quest kira-kira 50 kilometer dari sini petang semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 petang itu, pemandu kereta berkenaan, Machan Suut, 51, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala adik lelakinya cedera ringan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Niah, Pegawai Bomba Tinggi (PBT II) Rary Binjie berkata, kereta jenis Proton Saga FLX yang dinaiki dua beradik tersebut telah terbabas dan terjatuh ke dalam cerun lebih kurang 20 kaki.
“Berdasarkan maklumat saksi kejadian, mangsa (pemandu) telah tercampak keluar tiga meter dari kereta dan ditemui dalam keadaan meniarap manakala adiknya berjaya keluar sendiri.
“Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan dengan mengguna tali untuk menarik pengusung sehingga mangsa dapat dibawa naik ke jalan besar,” katanya ketika dihubungi TVS.
Katanya, pasukan paramediks mengesahkan mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi ditamatkan pada jam 8.12 malam,” katanya.
Seramai lapan anggota bomba dari BBP Batu Niah terlibat dalam operasi yang turut dibantu sembilan anggota polis dan dua petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – TVS