KUCHING, 11 Dis: Latihan tanpa henti selama dua bulan nyata berbaloi bagi Muhammad Johan Ghazali Zulfikar atau lebih dikenali ‘Jojo’ apabila berjaya menumbangkan lawannya juara WBC Mexico Edgar Tabares untuk muncul pemenang bagi kategori catchweight MuayThai Primetime US, ONE Championship 2023 di Bangkok, Thailand pada Sabtu.
Jojo,17, yang mewakili Rentap MuayThai Gym, tidak perlu bermandi peluh untuk menundukkan Tabares dalam tempoh 36 saat pada pusingan pertama perlawanan itu walaupun nyata lawannya itu lebih berpengalaman daripadanya.
Meskipun yakin dapat menewaskan lawannya menerusi ‘ technical knock out’ (TKO) namun beliau tidak menyangka kejayaan itu muncul lebih awal dan dalam masa yang singkat.
“Jangkaan untuk perlawanan ini memang mahukan TKO tapi ia tidak seawal 36 saat seperti yang berlaku.
“Pada asalnya saya menjangkaan TKO itu diperoleh dalam pusingan ke dua atau ke tiga tapi alhamdulillah ia datang awal,” katanya ketika ditemui selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) di sini, malam tadi.
Dalam perlawanan itu, Jojo pada awalnya diasak di bahagian kaki sebelum melakukan lima serangan balas di muka dan badan Tabares sehingga menyaksikan lawannya itu tertunduk menahan kesakitan sekali gus membolehkan Jojo diisytiharkan sebagai pemenang menerusi keputusan knockout.
Pun begitu, Jojo yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malayisa (SPM) tahun ini memberitahu dia akan memberikan lebih fokus untuk menghadapi peperiksaan itu selepas perlawanan ini.
Bagaimanapun, dia tetap akan meneruskan latihannya agar tahap kecergasan yang diperlukan berada pada tahap optimum.
Untuk rekod, Jojo belum pernah ditewaskan dalam lima pertarungan sejak menyertai ONE Championship pada Februari lalu.
Keadaan itu menjadikan dia dilihat sebagai bintang dalam pembikinan bagi sukan itu tahun ini. -TVS