KUCHING, 11 Dis: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof percaya Muhammad Johan Ghazali Zulfikar (Jojo) boleh melangkah lebih jauh di gelanggang Muay Thai.
Beliau juga percaya Jojo yang menumbangkan lawannya Edgar Tabares, jaguh Muay Thai dari Mexico pada Sabtu lepas, berupaya mengharumkan nama Malaysia di persada dunia.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau mengucapkan syabas dan tahniah atas kemenangan Jojo menerusi kategori catchweight Muay Thai Primetime US, ONE Championship 2023 di Bangkok.
âSyabas juga kepada Kelab Muay Thai Rentap Sarawak dan semoga dapat melahirkan lebih ramai jaguh Muay Thai untuk Negara,â katanya.
Jojo yang tiba di Kuching sekembalinya dari Bangkok pada malam tadi berkata, beliau kini akan memberi tumpuan bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malayisa (SPM) tahun ini.
Bagaimanapun dia tetap akan meneruskan latihannya agar tahap kecergasan yang diperlukan berada pada tahap optimum.
Jojo belum pernah ditewaskan dalam lima pertarungan sejak menyertai ONE Championship pada Februari lalu. – TVS