MUKAH, 11 Dis: Kesungguhan kerajaan menyediakan kemudahan yang diperlukan rakyat terserlah melalui projek pembinaan jalan menghubungkan jeti Pusat Pertumbuhan Desa (RGC) di Semop Pulau Bruit.
Ahli Parlimen Tanjung Manis, Ir Yusuf Abd Wahab berkata, jalan tar bertaraf R3 sepanjang 487 meter yang disediakan itu memudahkan nelayan dan orang ramai untuk berurusan di jeti nelayan kawasan tersebut.
Projek yang bernilai RM1.6 juta yang dilaksanakan dalam tempoh setahun itu katanya, dikendalikan Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah.
“Projek ini juga meliputi kotak pembentung berkembar di samping pembinaan sistem perparitan, penandaan jalan dan sebagainya.
“Kemudahan yang disediakan itu sebenarnya dari jalan persimpangan utama di Semop hingga ke jeti nelayan yang telah siap baru-baru ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pelaksanaan projek berimpak tinggi itu membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menyediakan kemudahan terbaik yang diperlukan oleh rakyat.
Malah ujarnya, ia juga sejajar dengan usaha pembangunan yang sedang rancak dilaksanakan oleh kerajaan di kawasan berkenaan.
“Laluan baharu ini akan memudahkan nelayan dan orang ramai untuk berurusan di jeti baharu, sebaik sahaja projek perumahan nelayan di RGC Semop siap sepenuhnya.
“Melalui kemudahan ini juga hasil tangkapan ikan bukan sahaja dapat dipasarkan di kawasan sekitar Semop sebaliknya ke bandar utama seperti Sibu dan Sarikei.
“Ia juga memudahkan para nelayan untuk menghantar bekalan seperti ais batu, minyak dan lain- lain ke bot mereka sebelum turun menangkap ikan,” jelasnya.
Terdahulu Yusuf berpeluang menyaksikan majlis ringkas penyerahan tapak projek siap antara Kementerian Industri Makanan, Komuditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak dan IKMAS Enterprise Sdn Bhd. – TVS