Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau, Timbalan Ketua Setiausaha MOTAC, Mohamad Yusri Mohamad Yunus dan tetamu kehormat yang lain pada sesi minum bersama-sama pada Majlis Penangguhan SKCF semalam. Foto: TVS

Jadikan budaya sebagai aset kaum Kenyah

MIRI, 11 Dis: Kaum Kenyah melalui Persatuan Kebangsaan Kenyah Sarawak (PKKS) perlu memanfaatkan budaya mereka seperti tarian dan alat muzik tradisional sebagai aset mereka untuk maju ke hadapan.

Ahli Parlimen Baram, Dato Anyi Ngau berkata, Persekutuan Persatuan Orang Ulu Sarawak Malaysia (FORUM) merupakan platform yang terbaik untuk mereka bekerjasama dengan kaum-kaum Orang Ulu yang lain bagi mencapai matlamat tersebut.

“Kita mempunyai bakat sebagai aset. Penari dan pemain alat muzik tradisional seperti sape dan jatung utang adalah aset di mana kaum Kenyah dan Orang Ulu terima sebagai budaya kita. Jadi PKKS melalui FORUM merupakan platform yang terbaik untuk kita bekerja seiring dengan komuniti lain di bawah FORUM untuk maju ke hadapan bagi membina negara dan negeri kita,” katanya demikian semasa Jamuan Makan Malam Perasmian Penangguhan Sarawak Kenyah Cultural Festival (SKCF) 2023 malam tadi.

Tambahnya, kepelbagaian budaya setiap kaum Orang Ulu dalam memainkan peranan masing-masing bersama-sama dilihat juga sebagai sesuatu yang menarik dan aset kepada negeri.

“Komuniti ini juga perlu jadi inklusif. Kaum Kenyah perlu memainkan peranan tersendiri, Kayan, Kelabit dan semua kaum yang lain juga perlu memainkan peranan masing-masing. Inilah keindahan di dalam negara kita yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum. Kepelbagaian kita menjadi aset kalau kita saling menghormati antara satu sama lain meskipun dengan budaya kita masing-masing, itulah cara kita untuk maju ke hadapan,” ujarnya lagi.

SKCF diwujudkan sebagai platform dan acara penting tahunan bagi memperkenalkan dan mempromosikan budaya, adat, seni dan warisan komuniti kaum Kenyah lantas menjadi ekopelancongan dan acara perniagaan yang dipacu oleh komuniti bagi memulihara warisan, budaya dan biodiversiti dalam kepelbagaian.

Turut hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC), Mohamad Yusri Mohamad Yunus mewakili Menteri MOTAC, Dato Sri Tiong King Sing, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon, ADUN Telang Usan, Dato Dennis Ngau dan Kapitan Albert Sim, wakil Datuk Bandaraya Miri Adam Yii Siew Sang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan