MARUDI, 10 Dis: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ditemukan meninggal dunia di kawasan takungan air berhampiran Kampung Cina di sini, petang semalam.
Difahamkan, Ngo Eh Min, 76, keluar dari rumahnya pada 9.30 pagi dan tidak pulang sehingga tengah hari sebelum ahli keluarganya membuat laporan.
Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Zon 6 Miri, Penguasa Kanan Ismaidi Ismail berkata, tujuh anggota dikerahkan ke lokasi mangsa disyaki hilang untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Setibanya di lokasi, Pasukan Keluaran Operasi telah memulakan pencarian dengan teknik pencarian di permukaan.
“Mangsa dijumpai di kedalaman lebih kurang dua kaki dalam keadaan tidak sedarkan diri sekitar 1.20 petang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Ismaidi, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang berada di tempat kejadian.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi SAR ditamatkan pada 1.48 petang,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Marudi, Deputi Superintendan (DSP) Mohd. Ruslan Mat Kib ketika dihubungi mengesahkan kejadian. -TVS