PULAU BRUIT, 10 Dis: Pembangunan di kawasan sentiasa diutamakan Datuk Abdullah Saidol dan terkini beliau menyerahkan sumbangan dana Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM1.471 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop itu menyerahkan sumbangan berkenaan kepada 65 penerima mewakili 20 JKKK kampung dan rumah panjang yang menerima RM1,138,200, 30 PIBG dan tabika (RM218,800), dua jawatankuasa masjid dan surau (RM61,000) dan lapan kelab dan persatuan (RM53,000).
“Daripada jumlah tersebut, RM1.283 juta atau 87 peratus adalah bertujuan untuk pelaksanaan 23 projek kecil kemudahan awam di penempatan masing.
“RM188,000 atau 13 peratus adalah untuk menampung kos penganjuran pelbagai aktiviti sosial dan kemasyarakatan,” katanya ketika ditemui ketika melakukan lawatan kerja ke lapan penempatan di kawasannya semalam dan hari ini.
Lawatan berkenaan adalah untuk mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan pemimpin kampung dan rumah panjang untuk berkongsi maklumat terkini tentang perancangan dan pelaksanaan projek infrastruktur atau kemudahan awam di kawasan penempatan mereka.
Abdullah yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) turut memberi peringatan tegas kepada pemimpin-pemimpin desa terutama JKKK supaya mengurus dana sumbangan tersebut dengan berintegriti, telus dan berhemah.
Diminta mengulas tentang peruntukan dan perancangan pembangunan luar bandar dalam Belanjawan Sarawak 2024 beliau berkata, RM12.363 bilion merupakan yang terbesar pernah dibentang dan diluluskan dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.
Dari jumlah RM7.8 bilion untuk pelaksanaan pelbagai projek pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, hampir 70 peratus adalah khas untuk pembangunan luar bandar.
“Seperti belanjawan tahun-tahun sebelum ini, ini adalah bukti kesungguhan dan keikhlasan kerajaan di bawah kepimpinan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk kekal dan mengukuhkan polisi pembangunan yang cenderung ke arah luar bandar,” ujarnya.
Menurutnya, membangunkan kawasan pedalaman adalah satu usaha kerajaan yang holistik dan termaktub dalam Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 atau agenda ekonomi baharu.
Kawasan pedalaman mampu menjadi penyumbang utama terhadap pendapatan Sarawak terutama dalam sektor pembekalan makanan dan tenaga hijau.
Hutan tropika yang besar di pedalaman Sarawak adalah komponen penting untuk inisiatif penyerapan karbon atau kredit karbon.
Di Sarawak juga banyak sungai besar dan air deras yang sesuai untuk membina projek empangan kecil tanpa menganggu kelestarian alam sekitar.
“Untuk mempastikan dana belanjawan kerajaan diurus dengan berintegriti, telus dan berhemah, maka kerajaan telah memperkenalkan undang-undang bercorak pemantauan, penguat kuasaan serta kuasa menyiasat iaitu Ordinan Ombudsman,” katanya. – TVS