Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari TUn Openg (enam dari kanan) dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (tujuh dari kanan) selepas perasmian program MINTRED Connects@London 2023 di Hyatt Regency London – The Churchill pada Jumaat. Kredit: UKAS

Sarawak pelawa pelaburan asing dalam sektor teknologi hijau, sumber tenaga masa depan

ByIzzah Kamilah Yunus

KUCHING, 9 Dis: Kerajaan Sarawak sentiasa mengalu-alukan pelabur dari seluruh dunia untuk meneroka potensi pelaburan dalam ekonomi baharu berteraskan teknologi hijau di Sarawak yang merupakan sumber tenaga masa hadapan.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pelaksanaan dasar kerajaan negeri yang jelas dengan mempromosikan tenaga hijau menerusi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030 telah menjadikan Sarawak sebagai antara destinasi pilihan pelaburan asing.

“Kami (Kerajaan Sarawak) akan mengutamakan pelaburan yang memberi tumpuan kepada teknologi hijau yang bersih yang akan mewujudkan kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kelestarian alam sekitar.

“Pada masa sama, kami sedang meneroka nilai tambah sumber tenaga bersih dalam bidang pengeluaran hidrogen serta bahan api penerbangan mampan (SAF) menggunakan mikroalga,” katanya dalam satu laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS) pada Jumaat.

Menurut beliau, pelawaan Kerajaan Sarawak terhadap pelaburan asing adalah untuk memberi nilai tambah kepada tenaga hijau dengan memulakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ke arah peralihan kepada tenaga bersih.

Abang Johari menambah sektor tenaga hijau perlu kalis cabaran masa hadapan bagi mendepani perkembangan pada peringkat global memandangkan sektor ini amat penting kepada pertumbuhan ekonomi dunia.

“Langkah ini penting bagi memastikan pembangunan sektor tenaga bersih kekal mampan dan berdaya saing pada masa hadapan.

“Saya baru balik daripada menghadiri Persidangan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP28 dan dasar tenaga hijau yang diperkenalkan oleh kerajaan Sarawak adalah sejajar dengan keperluan dunia dalam peralihan tenaga ke arah sumber tenaga yang lebih bersih,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Abang Johari juga memaklumkan pengiktirafan Sarawak sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi oleh Bank Dunia telah menyaksikan negeri ini berada di landasan tepat bagi memacu pertumbuhan ekonomi sekali gus menarik pelabur luar.

Beliau turut menyaksikan majlis menandatangani empat Memorandum Persefahaman (MoU) dalam kerjasama pelaburan, pelancongan, seni serta pengedaran produk yang akan menjadi pemangkin kepada kerjasama yang lebih baik antara Sarawak dan UK ketika perasmian program MINTRED Connects@London 2023 di Hyatt Regency London – The Churchill– TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan