SRI AMAN, 9 Dis: Golongan muda diseru untuk menyertai arena politik demi kestabilan masa depan negara, kata Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak itu berkata, minat golongan berkenaan perlu dipupuk bermula daripada peringkat akar umbi dalam usaha melahirkan pemimpin muda yang mampu mencorakkan masa depan negara yang lebih cerah.
“Tidak apa jika (golongan muda) tiada pengalaman kerana kita boleh ajarkan mereka untuk memperoleh pengalaman, asalkan mereka mempunyai latar belakang dalam persekolahan dan pendidikan, kita akan latih.
“Kita akan bawakan (mereka) ke Parlimen London, Singapura, Australia dan Scotland, kita latih mereka tidak hanya di DUN Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Regata Lingga, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Asfia berkata, melalui pendekatan tersebut, bakal pemimpin muda itu nanti akan dapat mengetahui keadaan dunia luar dan berada dalam keadaan selesa apabila dilawati oleh Ahli Parlimen dari negara lain.
“Begitu juga di kawasan (masing-masing), mereka mesti pandai bergaul di peringkat akar umbi kerana Sarawak mempunyai banyak bangsa dan keturunan, justeru, jangan hanya mementingkan bangsa sendiri sahaja.
“Itulah harapan kita kerana jika ada keharmonian di antara kaum, ia akan memberi satu kestabilan politik yang pada masa sama, mampu menarik pelaburan dan pelancongan ke negeri ini,” katanya.
Turut hadir, Ahli Parlimen Batang Lupar, Mohamad Shafizan Kepli, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Datuk Mong Dagang dan ADUN Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor. – TVS