Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad. Foto: Bernama

Malaysia gesa pengoperasian dana kerugian dan kerosakan bagi perubahan iklim lebih telus

ByBernama

KUALA LUMPUR, 9 Dis: Malaysia menggesa agar pengoperasian dana kerugian serta kerosakan bagi perubahan iklim bermula pada landasan yang betul dan dilakukan dengan setelus mungkin.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata dalam hal ini, institusi kewangan antarabangsa yang lain seperti Bank Pelaburan Eropah, Bank Pembangunan Asia, Bank Pelaburan Infrastruktur Asia dan Kumpulan Bank Pembangunan Afrika perlu dilibatkan.

“Tiada satupun institusi yang harus mempunyai monopoli. Kami harap penyesuaian boleh dilakukan atas semangat kemunasabahan dan keadilan.

“Namun kami harap ia dapat membantu semua negara yang memerlukan selain yang paling kurang maju dan kecil,” katanya semasa Segmen Peringkat Tinggi Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan pada Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim di Dubai hari ini.

Beliau berkata kesimpulan pengambilan saham global menggariskan keperluan mendesak untuk meningkatkan pembiayaan bagi tindakan membabit perubahan iklim dan Malaysia telah melakukan banyak perkara dalam hal ini.

“Kami akan melakukan lebih banyak lagi… jika kami mendapat bantuan sama ada dari segi kewangan atau teknikal,” katanya sambil menambah semua negara harus menyumbang dalam usaha menangani perubahan iklim berdasarkan prinsip tanggungjawab bersama namun berbeza (CBDR).

Nik Nazmi berkata Malaysia telah berjanji untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 45 peratus pada 2030 berbanding tahap pada 2005.

“Selain itu, kami berhasrat untuk mencapai pelepasan GHG sifar bersih melalui Strategi Jangka Panjang Pembangunan Rendah Karbon (LT-LEDS) yang akan dimuktamad pada awal 2024,” katanya.

Sebagai antara 17 negara megadiversiti, Nik Nazmi berkata Malaysia telah mendukung komitmen yang dibuat semasa Sidang Kemuncak Bumi di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992 bagi mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan hutan dan litupan pokok di negara ini.

Beliau berkata dari segi perundangan, Malaysia dalam proses meluluskan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga serta sedang menggubal Rang Undang-Undang Perubahan Iklim dan Pelan Adaptasi Negara selain telah melancarkan pasaran karbon sukarela.

“Malaysia telah diiktiraf sebagai negara Asia Tenggara dengan kedudukan teratas dalam Laporan Indeks Peralihan Tenaga 2023 oleh Forum Ekonomi Dunia.

“Kami juga buat pertama kali telah menganjurkan Minggu Iklim Asia Pasifik (APCW) yang menyaksikan penglibatan lebih 2,000 delegasi dari 100 negara,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan