MIRI, 9 Dis: Para pengguna jalan raya diingatkan agar sentiasa berhati-hati ketika memandu pada musim perayaan dan cuti sekolah.
Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, bilangan kenderaan di jalan raya akan meningkat dalam tempoh tersebut sekali gus dikhuatiri kadar kemalangan turut meningkat.
“Majlis Keselamatan Jalan Raya melancarkan kempen untuk memperingatkan para pengguna jalan raya untuk berhati-hati memandu atau menggunakan jalan raya semasa musim perayaan, cuti sekolah atau hari umum. Kerana apabila tibanya musim perayaan, bilangan kenderaan di jalan raya akan bertambah.
“Ramai yang akan balik ke kampung atau rumah panjang untuk meraikan perayaan misalnya Hari Krismas. Apabila bertambah, jadi para pengguna jalan raya perlu berhati-hati kerana kemungkinan berlaku kemalangan akan meningkat,” katanya pada Program Kempen Keselamatan Jalan Raya Bahagian Miri di Stesen Minyak Shell Permyjaya di sini, pada Jumaat.
Tambahnya, para pemandu juga perlu berhenti untuk berehat apabila berasa penat untuk memandu atau membawa pemandu yang boleh menggantikan mereka semasa dalam perjalanan jauh.
“Mereka yang balik ke kampung dalam perjalanan jauh, kita juga ingin menasihatkan mereka untuk berhenti dan berehat setelah memandu 2-3 jam atau berasa penat, mesti berhenti berehat. Mereka juga boleh membawa pemandu yang boleh mengganti mereka. Penting juga mereka mesti periksa kereta selamat sebelum memulakan perjalanan jauh ke rumah panjang atau kampung demi keselamatan diri sendiri,” ujarnya lagi.
Terdahulu, sebanyak 23 topi keledar percuma diagihkan kepada pembonceng motosikal semasa kempen ini dijalankan sebagai langkah untuk menggalakkan mereka menggunakan topi keledar yang mempunyai piawaian SIRIM sebagai langkah melindungi keselamatan mereka di jalan raya.
Dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas, Lee turut menggalakkan orang ramai untuk berkongsi kenderaan apabila ke tempat bekerja selain pihak syarikat untuk melaksanakan waktu kerja yang fleksibel supaya orang ramai tidak turun kerja pada masa yang sama. – TVS