KUCHING, 7 Dis: Sejajar dengan matlamat Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjadikan negeri ini maju dan berpendapatan tinggi pada 2030, sektor perkhidmatan awam mesti kreatif dan inovatif dalam menunaikan tanggungjawab.
Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki berkata ungkapan ‘business as usual’ mesti diketepikan dalam pemikiran penjawat awam yang kini memikul tanggungjawab penting dalam merealisasikan matlamat.
Menurutnya, Premier sentiasa ada idea-idea baharu bagi menambah pendapatan negeri yang seterusnya akan memajukan negeri dan memanfaatkan rakyat.
“Kalau kita fikir menggunakan kaedah ‘business as usual’ kita tidak akan dapat mencapai matlamat. Kita kena gunakan kelajuan luar biasa.
“Sebab itulah kita harus meningkatkan keupayaan, kapasiti, sentiasa berfikir, kreatif dan inovatif untuk memastikan bahawa kita dapat menyumbang ke arah mencapai wawasan Premier,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi program Dialog TVS bertemakan “Perkhidmatan Awam: Nadi Pembangunan Sarawak” yang dihoskan Iqbal Yusuf dan Najib Imran serta disiarkan malam ini.
Abu Bakar berkata lagi, sejak memikul amanah sebagai Setiausaha Kerajaan Sarawak setahun yang lalu, beliau memperkenalkan slogan 3R – ‘Revisit, Rethink dan Recharge’ bagi menyuntik budaya kerja cemerlang.
Bagi menyimpulkan maksudnya, beliau berkata:
“Kita tidak boleh sentiasa di takuk lama, kita hendaklah sentiasa memikirkan perkara-perkara baru dan menilai semula di mana kedudukan kita.
“Adakah kita berada di tahap yang mampu dari segi kapasiti dan keupayaan untuk membantu mencapai wawasan Premier,” soalnya.
Tidak kurang penting ialah bekerja sebagai satu pasukan tanpa mengira latarbelakang, tegasnya.
Malah, beliau sentiasa menekankan pentingnya ketua-ketua jabatan melaksanakan peranan atau dalam erti kata lain, tidak menyerahkan bulat-bulat kepada staf bawahan sesuatu tugas.
“Sebagai seorang ketua kita hendaklah mengambil berat dan tidak boleh berasa selesa dengan apa yang ada. Jadi contoh kepada pegawai-pegawai bawahan,” katanya.
Bagi melengkapkan pegawai-pegawai dengan ilmu terkini, kerajaan turut menghantar mereka menghadiri kursus dan latihan di universiti-universiti terkemuka di luar negara seperti Harvard University dan Cambridge University.
“Mereka kita hantar mengikuti kursus-kursus agar dapat menyesuaikan diri dengan ekonomi baharu, menyesuaikan mereka dengan pengetahuan perubahan iklim, menyesuaikan diri dengan dunia korporat sekarang,” katanya. – TVS