KAPIT, 7 Dis: Seorang penganggur berdepan hukuman denda RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun kerana memiliki dadah jenis syabu seberat satu gram.
Ketua Polis Daerah Kapit, Deputi Superintendan (DSP) Rohana Nanu berkata, suspek merupakan lelaki tempatan dan ditahan oleh sepasukan polis narkotik di Jalan Tan Sit Leong di sini pada jam 3.30 petang.
“Dalam kejadian itu, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Narkotik Daerah (BSJND) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kapit yang menjalankan rondaan terserempak dengan suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui satu paket plastik lutsinar mengandungi ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu dianggarkan seberat 1 gram dan bernilai RM100,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Rohana, suspek juga mengaku dadah yang dirampas polis adalah miliknya.
“Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Kapit untuk dokumentasi dan siasatan lanjut.
“Semakan rekod mendapati suspek mempunyai jenayah rekod lampau berkaitan dadah dan hasil ujian air kencing ke atas suspek juga mendapati suspek positif dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine,” jelasnya.
Menurut Rohana, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya. – TVS