KUCHING, 7 Dis: Khazanah serta budaya setiap etnik di negara ini terutamanya di Sarawak perlu dihidupkan dalam kalangan rakyat selain hanya mempamerkan khazanah berkenaan dalam muzium, kata Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Snowdan Lawan.
Perkara itu menurutnya akan menerapkan budaya menghargai budaya dan khazanah yang telah lama wujud sekali gus bukan menjadikan ia sebagai bahan publisiti semata-mata.
“Ini budaya kita, ia bukan sesuatu yang kita reka semata-mata untuk menarik kedatangan pelancong, bukan.
“Kita tidak boleh membiarkan budaya kita menjadi satu penghalang untuk maju ke hadapan. Malah, kita boleh pamerkan budaya kita, serta keunikannya dalam kehidupan di abad ke-20 ini kerana kita juga berhak untuk mengecapi kemodenan.
Kita kaya dengan warisan dan budaya yang mana kita sendiri perlu mempamerkannya dengan menjadi produk pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Majlis Perasmian Pameran On Semban : The Vanishing Culture of The Ring Ladies di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), di sini, pada Rabu.
Snowdan turut menegaskan pembangunan moden sesetengah kawasan tidak seharusnya mengancam kepupusan budaya seperti yang diamalkan Kerajaan Sarawak yang tidak mengabaikan kepentingan memelihara budaya dan warisan negeri.
Sementara itu, Pameran On Semban : The Vanishing Culture of The Ring Ladies yang mengenegahkan kelima-lima wanita gelang terakhir Bidayuh Semban Sarawak ke Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif untuk beramah mesra dengan peserta program dengan mengamati pengalaman sepanjang kehidupan mereka.
Difahamkan, suatu ketika dahulu penggunaan gelang tembaga pada wanita melambangkan kecantikan bagi komuniti lama Bidayuh Embhan di Kampung Semban.
Turut dipercayai, wanita yang menggunanya juga dibenarkan untuk mengambil bahagian dalam persembahan tarian helang semasa upacara perayaan di kampung.
Manakala, wanita yang tidak menggunakannya pula akan sukar untuk mencari suami kerana tidak mencapai taraf sosial kecantikan pada era kehidupan sebelum 1960-an.
Bagaimanapun, tradisi menggunakan gelang itu dihentikan pada penghujung tahun 1960-an di mana golongan muda perlu ke sekolah dan kanak-kanak perempuan tidak dibenarkan untuk memakai aksesori ke sekolah. -TVS