KUCHING, 7 Dis: Pelancaran Buku Dasar Integriti Sarawak Tourism Board (STB) diyakini sebagai inisiatif untuk memantapkan pengurusan pentadbiran di peringkat organisasi.
Menurut Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah, ia berkait rapat dengan Rang Undang-Undang (RUU) Ombudsman 2023 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak baru-baru ini.
“Saya melihat ia sebagai satu perkembangan yang baik, selaras dengan apa yang diharapkan oleh Kerajaan Sarawak.
“Kita baru sahaja meluluskan RUU Ombudsman yang sedikit sebanyak juga berkait rapat dengan memperbaiki perjalanan pentadbiran kerajaan, pentadbiran awam,” jelas beliau.
Pelancaran dasar tersebut merupakan salah satu komitmen STB yang tidak berbelah bahagi dalam menegakkan budaya integriti dalam penubuhannya.
Dasar tersebut merangkumi Dasar Usaha Wajar dan Dasar Konflik Kepentingan, yang berfungsi sebagai panduan yang jelas untuk warga STB dalam operasi harian mereka.
Abdul Karim menambah pencapaian yang diraih Sarawak pada masa kini adalah hasil komitmen berterusan dan pematuhan integriti dari kedua-dua sektor awam dan swasta. -TVS