Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Industri semikonduktor Sarawak menjadikan negara United Kingdom (UK) sebagai model dalam memacu strategi semikonduktor di negeri ini. Foto hiasan: Envato.

Sarawak bakal pacu sektor semikonduktor sebatian, contohi UK

BySheera Abang Mansor

KUCHING, 6 Dis: Industri semikonduktor Sarawak berhasrat untuk memulakan sektor semikonduktor sebatian dengan menjadikan negara United Kingdom (UK) sebagai panduan dalam memacu strategi bidang itu di negeri ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Sarawak Microelectronics Design (SMD) Semiconductor, Shariman Jamil berkata, permulaan kepada industri baharu ini akan menempatkan Sarawak sebagai salah satu kluster ‘niche’ dunia dalam industri semikonduktor, menghasilkan lebih banyak bakat serta menarik pelaburan bernilai tinggi.

Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor, Shariman Jamil (kanan) dan Adelene Teo, Penasihat Ekonomi Pasukan Diplomasi Dua Hala Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur ketika dihubungi TVS secara maya di United Kingdom, pada Selasa.

“Sarawak mempunyai kapasiti sedia ada atau pemain dalam faundri silikon melalui X-FAB, yang beroperasi di Samajaya High Tech Park Kuching.

“Dengan memanfaatkan kekuatan ini, Sarawak boleh memulakan Semikonduktor Sebatian seperti Gallium Nitride GaAn pada silikon, Silicon Carbide dan Graphene pada silikon, iaitu juara teknologi masa depan untuk EV, Hidrogen, 5G dan 6G, aplikasi Space dan banyak lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi TVS pada Selasa berhubung lawatan delegasi Komanwel di kemudahan semikonduktor United Kingdom, yang diadakan bermula 27 November hingga 5 Disember.

Lawatan delegasi Komanwel di fasiliti semikonduktor United Kingdom. Foto: SMD Semiconductor 

Beliau menjelaskan  semikonduktor sebatian muncul sebagai industri yang berkembang pesat dengan menjanjikan prestasi yang jauh lebih unggul berbanding silikon.

Tambahnya, kerajaan UK sejak memulakan industri semikonduktor 20 tahun lalu, memilih untuk tidak bersaing dalam teknologi semikonduktor arus perdana iaitu Silikon atau Logam Pelengkap Oksida Semikonduktor (CMOS).

Sebaliknya, kata Shariman mereka memilih untuk melabur dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kemudahan untuk semikonduktor sebatian seperti Gallium Nitride (GaAn) Dan Silicon Carbide (SIC), yang mempunyai sifat-sifat unggul kepada CMOS, katanya.

“Pemahaman di sebalik strategi ini bagi UK ialah mereka menyedari bahawa kesesakan semua teknologi semikonduktor masa hadapan, sama ada EV bervoltan tinggi atau aplikasi Hidrogen, telekomunikasi berkelajuan tinggi seperti 5G, 6G, dan banyak lagi bergantung kepada prestasi satu peranti, iaitu transistor; transistor pantas membolehkan 5G dan 6G, transistor pensuisan bervoltan tinggi membolehkan EV dan aplikasi serupa dengannya, dan sebagainya,” jelasnya.

Terdahulu, berkaitan lawatan delegasi tersebut, Penasihat Ekonomi Pasukan Diplomasi Dua Hala Suruhanjaya Tinggi British, Kuala Lumpur, Adelene Teo berkata, lawatan tersebut bermatlamat untuk mempamerkan kemampuan semikonduktor di UK dan inovasi terkini mereka serta menyesuaikan polisi yang sama dan kepentingan sosial serta kerjasama awal bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D).

Hasil kerjasama ini, katanya, hendaklah menyokong pembangunan dan visi semikonduktor UK dan Malaysia.

“Kepakaran UK dan Malaysia adalah saling melengkapi. Malaysia mempunyai pengetahuan pengeluaran besar-besaran, termasuk industri kejuruteraan ketepatan matang yang mampu membangunkan mesin automasi yang canggih, untuk menskala dan mengkomersialkan inovasi dan reka bentuk UK.

“Bagaimanapun, ekosistem UK kurang dikenali di Malaysia – dan sebaliknya,” ujarnya.

Menerusi inisiatif ini, Adelene menyatakan keterujaan kedua-dua peserta UK dan Malaysia yang mengalu-alukan pertukaran dua hala berhubung amalan terbaik, aplikasi teknologi terkini, kepraktisan inovasi dan dasar sokongan, terutamanya dalam bidang R&D, reka bentuk cip, semikonduktor sebatian dan ujian awal dan pembungkusan.

Sementara itu, Shariman ketika diminta mengulas mengenai kedua-dua industri semikonduktor berkata, UK mempunyai ekosistem semikonduktor yang cergas di mana kerajaannya melabur lebih dalam Sektor R&D serta kemudahan untuk menempatkan industri tersebut dalam sektor R&D bernilai tinggi dan rekabentuk cip dibawah strategi semikonduktor UK.

Manakala rantaian semikonduktor Malaysia pula katanya, sentiasa tertumpu kepada Perhimpunan Dan Ujian Semikonduktor Sumber Luar (OSAT) dan Perkhidmatan Pembuatan Elektronik (EMS).

Oleh itu, beliau menyarankan industri semikonduktor di negeri ini untuk meningkatkan rantaian nilai ke dalam bidang R&D dan rekabentuk cip menerusi peranan tiga elemen iaitu rangka kerja sokongan dan kerjasama antara kerajaan, akademik dan institusi penyelidikan.

“Dalam hal ini, semua pihak hendaklah bekerjasama untuk memastikan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia NIMP2030 dapat direalisasikan dan dengan hala tuju kerajaan yang jelas, iaitu, strategi pelaksanaan tiga kaki dan pembiayaan yang mencukupi serta menerusi langkah proaktif dan progresif pihak universiti untuk mencondongkan hasil mereka dalam memenuhi keperluan dan piawaian industri.

“Tiga elemen ini hendaklah datang bersama,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Shariman turut mendedahkan sasaran SMD Semiconductor, iaitu anak syarikat milik penuh Kerajaan Sarawak, optimis untuk menghasilkan 500 pekerja mahir bidang semikonduktor menjelang 2030 bagi membekalkan industri berkenaan dengan lulusan terlatih. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan