Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Jumlah penunggang dan pembonceng motosikal mencatatkan kematian yang tertinggi dalam kemalangan jalan raya di Mukah dua tahun berturut-turut. Foto: IPD Mukah

Jumlah korban kemalangan jalan raya meningkat di Mukah

MUKAH, 6 Dis: Jumlah korban akibat kemalangan jalan raya di Mukah pada tahun ini meningkat melebihi 60 peratus berbanding tahun 2022.

Ketua Polis Daerah Mukah, Deputi Superintendan (DSP) Muhamad Rizal Alias berkata, berdasarkan data terkini seramai 26 orang terkorban akibat kemalangan jalan raya direkodkan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Mukah sehingga November tahun ini.

Menurutnya, statistik menunjukkan sejumlah 332 kes kemalangan jalan raya telah direkodkan sehingga November tahun ini berbanding 297 kes dalam tempoh sama pada 2022.

“Berdasarkan data terkini, jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya di Mukah pada tahun ini menunjukkan peningkatan ketara dengan 26 kematian atau 61.5 peratus lebih tinggi berbanding 16 kematian yang direkodkan pada tempoh sama tahun lalu.

“Untuk tahun 2022 dan 2023 kes kematian kemalangan jalan raya yang melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal adalah yang tertinggi di mana sebanyak sembilan kematian melibatkan penunggang dan pembonceng motosikal sehingga November tahun ini berbanding lapan kematian dalam tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya kepada TVS hari ini.

Bagaimanapun, katanya, jumlah pengguna jalan raya yang mengalami kecederaan parah adalah menurun dengan hanya satu kes berbanding empat kes dalam tempoh sama tahun lalu.

Dalam pada itu, Muhamad Rizal memberitahu jumlah kenderaan yang terlibat juga meningkat iaitu sebanyak 394 buah kenderaan sehingga November berbanding 382 kenderaan dalam tempoh sama tahun lalu.

“Jumlah kereta yang terlibat dalam kemalangan jalan raya juga meningkat iaitu daripada 216 buah (2022) kepada 220 buah sehingga November tahun ini.

“Selain itu, jumlah kenderaan jenis pikap dan motosikal yang terlibat dalam kemalangan jalan raya juga meningkat tahun ini,” dedahnya.

Ujarnya, sebanyak 104 buah pikap terlibat dalam kemalangan sehingga November pada tahun ini berbanding 97 buah dalam tempoh sama tahun lalu manakala motosikal 29 buah berbanding 25 buah pada tahun sebelumnya.

Katanya lagi, jumlah kenderaan lain yang turut terlibat dalam kemalangan jalan raya merekodkan jumlah sama dalam tempoh dua tahun berturut-turut termasuk lori sebanyak 36 buah, traktor (dua) dan bas (tiga) manakala tiada kenderaan jenis van terlibat dalam kemalangan tahun ini berbanding tujuh buah dalam tempoh sama tahun lalu.

Tambahnya berdasarkan statistik, sikap cuai pemandu atau pengguna jalan raya ketika berada di atas jalan raya menjadi punca utama berlakunya kemalangan jalan raya. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan