KUCHING, 6 Dis: Suka atau tidak, bimbang atau tidak, teknologi kecerdasan buatan (AI) telah menyerap masuk dalam kehidupan masyarakat global.
Itu yang dicatat Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menerusi Facebooknya tentang imej AI yang menampilkannya dengan watak Santa Claus.
Imej itu memaparkan Dr Sim berswafoto bersama Santa Claus AI yang lain.
Hantaran yang menggambarkan perayaan Krismas bakal disambut tidak lama lagi itu
menerima reaksi positif dalam kalangan netizen.
“Menakjubkan. Apa yang AI boleh lakukan,” katanya menerusi satu hantaran Facebook hari ini.
Sambil memberi dorongan agar netizen mencuba teknologi imej AI, beliau berpesan agar lebih berhati-hati dengan bahaya AI.
“Waspada dengan ‘deep fake’ (imej palsu) Dr Sim seterusnya,” katanya.
Baru-baru ini beliau menyeru para pemain industri seni dan warisan agar mengadaptasi karya-karya mereka menggunakan teknologi AI.
Teknologi AI dapat membantu para pemain industri seni dan warisan melebarkan sasaran khalayak melalui industri seni kreatif pada peringkat antarabangsa melalui pelantar digital, jelasnya. – TVS