KUCHING, 6 Dis: Seorang guru wanita terpedaya dengan taktik ‘scammer’ sehingga sanggup mencampakkan wang tunai RM29,000 ke semak berdekatan dengan pusingan P jalan di Saratok.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata dalam kejadian pada 4 Disember, guru dalam lingkungan umur awal 30 tahun itu berpatah balik ke tempat tersebut dan mendapati wang berkenaan sudah tiada lagi.
Ketika itu mangsa baru sedar bahawa telah ditipu, katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Terdahulu, guru berkenaan turut rugi RM125,000 selepas melakukan 19 transaksi pemindahan wang ke tujuh akaun bank ’scammer’.
Transaksi itu dilakukan secara berperingkat dari pertengahan Oktober hingga pertengahan November 2023.
Mangsa menerima panggilan daripada wanita yang menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) pada 19 Oktober.
“Maisarah dari SKMM memberitahu mangsa, pihak SKMM ada menerima aduan daripada orang ramai menyatakan nombor telefon mangsa telah diguna untuk membuat iklan palsu di sekitar Seremban.
“Kemudian panggilan mangsa disambungkan ke beberapa individu dan diarahkan untuk membuat pemindahan ke akaun bank yang diberikan untuk kononnya bagi siasatan Bank Negara,” katanya.
Laporan polis dibuat guru berkenaan pada 5 Disember. – TVS