KUCHING, 5 Dis: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) sebagai kekal relevan meskipun sejak penubuhannya 50 tahun lalu.
Beliau yang merupakan Penasihat SABERKAS berkata, usaha akan terus dijalankan untuk memastikan hala tuju pertubuhan itu adalah selari dengan perubahan trend, selain bersesuaian dengan keperluan semasa golongan belia.
“Kini pengisian program juga telah mengalami transisi sewajarnya selaras dengan perubahan minat, tuntutan semasa dan kecenderungan belia hari ini. Inilah peranan SABERKAS untuk terus menyantuni minat dan keperluan belia di Sarawak dari dahulu hingga kini,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh Presiden SABERKAS, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah pada Perhimpunan Agung Tritahunan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) ke-17, hari ini.
Dalam pada itu, SABERKAS akan terus memastikan kepimpinan dirancang dengan baik agar dapat menjaga perpaduan dan kesalingfahaman dalam pertubuhan itu.
Menurutnya, kepimpinan lama akan dilantik sebagai mentor kepada barisan kepimpinan baharu agar SABERKAS dapat mengekalkan ketekalan sebagai pertubuhan belia utama yang melahirkan pemimpin-pemimpin berwibawa di Sarawak. -TVS