Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata Sarawak lebih berhati-hati dalam urusan menerima masuk pelancong dari luar negara. Foto: TVS

Pengecualian visa 30 hari rancakkan pelancongan, Sarawak lebih berhati-hati terima pelancong

ByAmirah Shawel

KUCHING, 5 Dis: Keputusan kerajaan Persekutuan memberi pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India disifatkan sebagai inisiatif yang berupaya merancakkan industri pelancongan.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bagaimanapun berkata Sarawak akan lebih berhati-hati dalam menerima masuk pelancong dari mana-mana negara.

“Kita mahukan pelancong yang boleh membawa keharmonian dan kesejahteraan. Kita tidak mahu mereka yang akan mencalar dan merosakkan tempat kita,” katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Agung Tritahunan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) ke-17 di sini, hari ini.

Sebelum ini terdapat laporan menyatakan keberadaan pelancong-pelancong dari China tidak dapat dipastikan oleh Jabatan Imigresen.

Sementara itu, Abdul Karim berkata jumlah pelancong dari China yang melawat ke negara-negara lain termasuk Malaysia semakin berkurangan sejak penularan COVID-19.

Menurutnya, kerajaan China lebih menggalakkan rakyatnya untuk merancakkan pelancongan domestik berbanding melawat negara luar.

“Bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di negara lain. Thailand juga mengalami perkara sama. Kerajaan China tidak begitu menggalakkan mereka keluar,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India mulai 1 Disember.

Kemudahan berkenaan membolehkan warga asing daripada dua negara itu berkunjung ke Malaysia bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan