KUCHING, 5 Dis: Timbalan Presiden Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi mengumumkan beliau tidak akan bertanding pada Perhimpunan Agung Tritahunan SABERKAS ke-17.
Menurutnya, sudah tiba masa untuk beliau memberi peluang kepada golongan muda memegang jawatan dalam Majlis Jawatankuasa Tertinggi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu.
“Saya telah diamanahkan oleh Premier (Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg) untuk bersama-sama dengan Presiden, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memimpin SABERKAS dan telah bersetuju (berkhidmat) selama satu penggal.
“Kini SABERKAS berada pada landasan yang kukuh dan kuat jadi saya mengambil keputusan untuk memberi peluang kepada generasi muda mengambil alih kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui TVS selepas Perhimpunan Agung Tritahunan Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) ke-17 di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Damai itu berkata, beliau juga telah menyerahkan kepimpinan sebagai Pengerusi SABERKAS Cawangan Pantai Damai kepada generasi pelapisnya.
Sementara itu, sistem kesinambungan pemimpin yang diaplikasi setelah pindaan Perlembagaan SABERKAS pada sesi Perhimpunan Agung yang lalu memberikan impak positif kepada prestasi NGO berkenaan.
Kuota Kepimpinan Majlis Tertinggi SABERKAS kini adalah dengan nisbah 30:70, di mana 30 peratus terdiri daripada mereka berusia lebih daripada 40 tahun manakala 70 peratus adalah mereka berusia bawah 39 tahun.
“30 peratus itu adalah kerana kita ingin memberi peluang kepada yang lama, yang senior untuk menurunkan ilmu kepimpinan, berkongsi pengalaman supaya yang muda dapat bimbingan kepimpinan yang teratur.
“Apa-apa masalah kita dapat berbincang sesama sendiri. Suasana ini telah wujud dalam SABERKAS selama ini,” ujarnya.
Abdul Rahman telah memegang jawatan selaku Timbalan Presiden SABERKAS sejak 2020 hingga kini. -TVS