Ahli Dewan Undangan Negeri Meradong (ADUN), Datuk Ding Kuong Hiing menyampaikan cek kepada penerima di Bintangor. Foto: TVS

86 penduduk Meradong terima pampasan RM241,287

BINTANGOR, 5 Dis: Seramai 86 orang penduduk menerima cek pampasan berjumlah lebih RM200,000 bagi projek naik taraf Projek Skim Pengairan Bundong Sian Blok Satu dan Dua Meradong.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek berimpak tinggi itu bukan sahaja memudahkan pengeluaran hasil pertanian tetapi juga berupaya meningkatkan hasil produktiviti tanaman penduduk di kawasan terbabit.

Usaha itu katanya, juga memberikan kemudahan dan memperbaiki ekonomi rakyat dalam segenap aspek agar mereka tidak ketinggalan daripada arus pembangunan.

“Untuk membangunkan semua infrastruktur berkenaan, kita memerlukan tanah. Dalam melaksanakan pembangunan, pengambilan tanah adalah suatu perkara yang tidak dapat dielakkan bagi memastikan projek itu dapat dilaksanakan demi kepentingan awam,” katanya pada majlis penyerahan cek pampasan kepada penduduk yang terlibat di Dewan Pejabat Daerah Meradong hari ini.

Tegas beliau, Kerajaan Sarawak tidak akan mengambil tanah rakyat yang terlibat dengan projek kerajaan secara percuma sebaliknya diambil berdasarkan kepada peruntukan sedia ada dalam Kanun Tanah Negeri dan Perlembagaan Persekutuan.

Malah ujarnya, tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang sewajarnya.

“Kerajaan sentiasa berusaha memaksimumkan pembangunan di kawasan pedalaman dan luar bandar demi kemudahan dan kesejahteraan rakyat.

“Sebagai contoh kerja-kerja menaik taraf jalan pesisir, implementasi projek Jalan Utama Kedua (Second Trunk Road), jambatan, loji rawatan air, stesen pencawang elektrik, menara telekomunikasi yang sudah dibina atau dalam pelaksanaan dan lain-lain,” katanya lagi.- TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan