SERIAN, 4 Dis: Seorang pemandu tercampak keluar dari kenderaan pikapnya dan jatuh ke dalam parit dalam kemalangan di Kilometer 43, Jalan Kuching-Serian, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serian, Deputi Superintendan Aswandy Anis berkata pikap dipandu Peter Tay Kok Fah, 64, hilang kawalan lalu terbabas di sebelah kiri jalan.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik dari Hospital Serian.
Menerusi kenyataan malam ini, beliau berkata dalam kejadian pada kira-kira 4.43 petang, akibat terbabas pikap mangsa melanggar tebing tanah seterusnya menyebabkan ia terbalik.
Mangsa dalam perjalanan menuju ke Serian dari arah Kuching.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Kes masih dalam siasatan. – TVS