GEORGE TOWN, 4 Dis: Polis mengesahkan punca kematian bayi perempuan yang ditemui terdampar di pesisir Pantai Queensbay, Bayan Lepas di sini semalam adalah akibat leher dikelar.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, mayat bayi tersebut telah dibedah siasat di Hospital Pulau Pinang di sini hari ini.
“Hasil bedah siasat mendedahkan punca kematian akibat ‘incised wound to the neck’ (kelaran pada leher). Kes ini diklasifikasikan semula di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu media melaporkan pengunjung di Pantai Queensbay gempar apabila menemui mayat bayi perempuan di atas batu pada kira-kira 5.55 petang semalam.
Siasatan polis mendapati mayat cukup sifat yang dijumpai dalam keadaan tidak berpakaian itu dipercayai dihanyutkan arus laut sehingga terdampar di tepi pantai.
Sementara itu, Kamarul Rizal berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi pegawai penyiasat kes, ASP C. Jivendran Muthuliyar di talian 019-346 9718 bagi membantu siasatan. – TVS