Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Sri Fatimah Abdullah (tengah) pada sidang media isu pembuangan bayi di Bangunan Baitul Makmur 2 hari ini. Foto: TVS

4 kes pembuangan bayi direkodkan di Sarawak tahun ini – Fatimah

ByHafeezzur Muzamir

KUCHING, 4 Dis: Sarawak merekodkan sebanyak empat kes pembuangan bayi sepanjang tempoh Januari hingga setakat 4 Disember tahun ini, kata Dato Sri Fatimah Abdullah.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak (KPWK) itu berkata, empat kes yang direkodkan itu menyaksikan dua daripadanya masih bernyawa manakala dua lagi telah meninggal dunia.

“Statistik Jabatan Siasatan Jenayah PDRM Sarawak dari 2016 hingga 4 Disember tahun ini merekodkan sebanyak 54 kes pembuangan bayi.

“Pada 2016 kes pembuangan bayi yang dilaporkan adalah sebanyak 10 kes, 2017 pula empat kes, 2018 merekodkan 10 kes, 2019 dan 2020 masing-masing merekodkan jumlah yang sama iaitu lima kes manakala pada 2021 meningkat kepada 10 kes dan 2022 sebanyak enam kes,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media isu pembuangan bayi di Bangunan Baitul Makmur 2 di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Tetap KPWK Noriah Ahmad dan Pengarah Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak, Salmah Jabeli.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, pihaknya memandang serius dan mengambil berat mengenai perkara itu dengan mengambil langkah menyediakan pusat perlindungan yang terletak di Taman Sri Puteri, Kuching untuk remaja wanita hamil yang memerlukan perlindungan sehingga kelahiran anak mereka.

“Saya menggesa ibu bapa dan penjaga gadis muda ini untuk menghubungi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhampiran anda, Jabatan Wanita dan Keluarga Sarawak atau mendapatkan bantuan daripada NGO untuk mendapatkan bantuan dan bimbingan.

“Bagaimanapun, kami menyedari cabaran yang terpencil dan ketakutan yang dihadapi oleh ibu muda dalam mendapatkan bantuan,” katanya.

Fatimah menjelaskan, empat kes yang direkodkan itu termasuk penemuan seorang bayi perempuan yang ditinggalkan di kawasan semak di perumahan Samariang, di sini pada Rabu lalu.

Bayi yang masih hidup dan bertali pusat itu ditemui dalam keadaan sihat oleh orang awam.

Susulan itu, seorang remaja perempuan berusia 14 tahun dipercayai ibu kepada bayi perempuan tersebut berjaya dikesan dan ditahan di kawasan Matang. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan