KUCHING, 3 Dis: Festival Muzik dan Seni Antarabangsa Sarawak (SIFMA) telah mendapat pengiktirafan pihak Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) seiring dengan usaha memartabatkan persembahan seni dan budaya di Sarawak.
Pengerusi SIFMA, Dr. Geraldine Law Lee menyatakan perkara itu pada SIFMA kali ke-4 yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, malam tadi.
“Kami amat berbesar hati untuk diumumkan sebagai platform Persembahan Warisan Budaya Tidak Ketara UNESCO.
“Sebaik sahaja kita diiktiraf oleh program pengiktirafan UNESCO, kita boleh menggerakkan banyak persatuan dan memulihkan banyak perkara lain yang mungkin kadang-kadang agak perlahan atau telah hilang,” katanya.
Sehubungan itu, tambahnya, pada penganjuran SIFMA yang ke-5 pada tahun hadapan pihak mereka akan mengetengahkan bakat-bakat baharu khususnya generasi muda dengan platform bersesuaian yang telah disediakan.
“Tahun hadapan menandakan tahun kelima. Oleh itu, kami akan melancarkan SIFMA Junior untuk kanak-kanak dan belia.
“SIFMA Junior bakal mencipta platform yang menakjubkan bagi golongan ini mempamerkan bakat dan semua seni seperti fesyen dan seni visual serta sastera untuk dikembangkan,” ujarnya.
Seramai lebih 500 penonton hadir memeriahkan SIFMA kali ini yang menyediakan pelbagai persembahan kebudayaan dari negara serantau melibatkan artis dari luar negara seperti Thailand, Filipina, India, Indonesia dan Singapura serta penglibatan artis tempatan iaitu dari Sarawak dan Semenanjung Malaysia.
Turut Hadir Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan (MTCP) Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Presiden Penggiat Seni dan Kebudayaan Malaysia Kuching, Mazuki Tambi. – TVS