KUCHING, 3 Disember: Penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo tidak bermakna penamatan pembangunan infrastruktur di Sarawak sebaliknya kerajaan pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan meneruskan pembangunan infrastruktur mega di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan penyiapan projek Lebuhraya Pan Borneo, seterusnya Kerajaan Sarawak akan terus memberi fokus kepada pembinaan Jalan Pesisir Sarawak, termasuk Jalan Utama Kedua dengan jarak 896 kilometer (km) dari Kuching sehingga ke utara Sarawak.
Menurutnya, Kerajaan Sarawak juga akan melaksanakan pembinaan jalan raya yang menghubungkan pekan Marudi dengan Long Terawan yang akan membantu merancakkan lagi industri pelancongan di Baram dan Ulu Baram.
“Kerajaan Sarawak juga melaksanakan jaringan paip gas di seluruh Sarawak dengan membangunkan pelabuhan gas di selatan Sarawak, ini akan memberikan kemudahan moden yang mengubahkan ekonomi kita kepada tenaga hijau, termasuk bidang telekomunikasi.
“Kesemua ini memerlukan pakar kejuruteraan dan pakar-pakar berkenaan tetapi kita hadapi kekurangan pakar tertentu. Maka, saya sudah mengarahkan Centexs untuk menawarkan kursus-kursus tertentu bagi memupuk lebih banyak pekerja mahir bagi mempercepatkan projek-projek yang dilaksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Makan Malam Impian Jadi Realiti Lebuhraya Pan Borneo Sarawak malam ini.
Dengan hala tuju yang jelas, beliau yakin bahawa masa depan Sarawak adalah mampan dan sekali gus memanfaatkan seluruh rakyat di Sarawak. -TVS