Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Aset-Aset Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) semasa melalui perairan Pulau Pinang pada Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023. Foto: APMM

KM Nusa berjaya harungi pelayaran solo dari Terengganu ke Langkawi

LANGKAWI, 3 Dis: Aset kapal ronda Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Kapal Maritim (KM) Nusa berjaya mengharungi perjalanan sejauh 750 batu nautika secara solo dari Kuala Terengganu, Terengganu ke Pulau Langawi bagi menyertai Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 semalam.

Kapal berkenaan turut sempat berada dalam kelompok 14 buah kapal yang terlibat dalam eksesais itu ketika melalui kawasan perairan Pulau Pinang sebelum menamatkan pelayaran di Jeti Pulau Langkawi.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Hamid Mohd Amin berkata, semangat dan iltizam yang ditunjukkan pegawai dan anggota KM Nusa merupakan contoh kesungguhan APMM dalam memberikan komitmen demi memastikan setiap arahan berjaya dilaksanakan.

Beliau berkata, selain bersemangat melaksanakan tugasan, warga APMM perlu meningkatkan kepakaran dalam bidang tertentu khususnya ilmu pelayaran dan penguatkuasaan.

“Komunikasi taktikal misalnya perlu ditingkatkan kerana bilangan anggota semakin berkurangan disebabkan ramai warganya telah bersara wajib dalam perkhidmatan.

“Oleh itu, tindakan segera perlu diambil dengan memberikan pendedahan ilmu komunikasi berkenaan kepada pelapis muda demi kepentingan operasi di masa hadapan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Penutup Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 di sini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan) Maritim Malaysia, Norzam Mustapa serta Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa.

Sementara itu, Hamid berkata, Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 turut berjaya mempamerkan keberadaan aset dan kesiagaan APMM dalam menjaga keselamatan di perairan Selat Melaka.

“Sepanjang eksesais ini berlangsung, tiada sebarang aktiviti penyeludupan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dikesan di kawasan berhampiran sempadan negara.

“Bagaimanapun, KM Burau berjaya menahan sebuah bot nelayan tempatan yang melanggar syarat sah lesen Akta Perikanan 1985 kerana tidak mempunyai kebenaran daripada Pengarah Perikanan Malaysia untuk menggajikan pekerja warga asing,” katanya lagi.

Untuk rekod, Eksesais Maritim Perkasa Barat 2023 yang bermula di Pelabuhan Klang, Selangor telah menjalani tiga fasa latihan iaitu Fasa Pelabuhan pada 26 dan 27 November lalu, Fasa Laut (28 November hingga 1 November) serta Fasa Penutup di Pulau Langkawi (2 dan 3 Disember) membabitkan hampir 500 peserta. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan