GEORGE TOWN, 3 Dis: Polis menyita sebanyak 57 buah motosikal selepas disyaki terbabit dalam kegiatan lumba haram di kawasan Jalan Sultan Azlan Shah dan Persiaran Mahsuri di sini, awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, Operasi Tutup bermula 11.30 malam hingga 10 pagi itu dibuat sebagai usaha membendung kegiatan samseng jalanan dan memastikan penunggang motosikal mematuhi peraturan lalu lintas di kawasan berkenaan.
“Sebanyak 57 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Selain itu, 88 saman dikeluarkan atas lain-lain kesalahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, operasi tersebut disertai 27 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang serta 14 pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Barat Daya. – TVS