Search
Close this search box.
Search
Close this search box.

Polis tahan dua suspek bersama ganja bernilai lebih RM200,000

ByBernama

KOTA BHARU, 1 Dis: Polis menahan dua suspek bersama dadah jenis ganja seberat 74 kilogram (kg) yang dianggarkan bernilai RM229,400 di Kuala Krai, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai DSP Kamarulzaman Harun berkata lelaki dan wanita berumur lingkungan 25 hingga 39 tahun itu ditahan di dalam sebuah kereta yang datang dari arah Kota Bharu menuju Gua Musang.

Beliau berkata terdahulu, anggota Cawangan Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai telah mengesan kereta Proton Wira dinaiki tiga individu dalam keadaan mencurigakan di Telekong kira-kira 11.35 pagi.

“Ketika pemeriksaan hendak dijalankan, suspek telah bertindak memecut untuk melarikan diri sebelum berjaya ditahan di tepi jalan di Bukit Sireh. Seorang suspek lelaki dan wanita berjaya ditahan, namun suspek ketiga seorang lelaki meloloskan diri ke arah semak berdekatan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kereta itu menemukan lima kotak yang di dalamnya mengandungi bahan disyaki dadah jenis ganja seberat 74 kg yang dianggarkan bernilai RM229,400,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini.

Kamarulzaman berkata suspek yang berjaya melarikan diri merupakan suami kepada wanita yang ditahan itu.

“Hasil soal siasat awal terhadap kedua-dua suspek, mereka mengaku bekerjasama menghantar bekalan dadah terbabit.

“Ujian saringan awal air kencing mendapati suspek lelaki positif dadah jenis methamphetamine dan suspek perempuan negatif dadah,” katanya.

Beliau berkata kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga Khamis depan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Pihak Polis IPD Kuala Krai memohon kerjasama daripada orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini untuk tampil menyalurkan maklumat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai melalui talian 09-9666222,” katanya. -TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan