KUCHING, 1 Dis: Kaedah pengumpulan dan penyaluran data yang tepat serta sistematik membantu kerajaan merancang pelaksanaan dasar sejajar dengan usaha membangunkan Sarawak.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato Sri Julaihi Narawi berkata ini juga dapat mengatasi isu yang mungkin akan timbul sekali gus mengemaskini status projek yang sedang dijalankan.
“Semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri berlangsung, segala maklumat yang dinyatakan oleh Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi adalah bedasarkan angka dan data.
“Kita memerlukan maklumat tepat untuk menjawab soalan-soalan daripada wakil rakyat dari setiap DUN mengenai isu-isu yang berkaitan,” katanya berucap pada Majlis Apresiasi Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak Kali Ke-19 di sini, malam tadi.
Jelasnya, jawapan yang disampaikan semasa perbahasan di Dewan Undangan Negeri bagi menjawab soalan wakil rakyat dari seluruh Sarawak sama ada melalui soalan bertulis dan lisan adalah bedasarkan fakta, statistik dan data yang tepat.
“Begitu juga ketika berbahas di DUN, kita mempunyai bukti yang cukup untuk dibentangkan dan ia disokong dengan maklumat daripada kementerian dan agensi-agensi berkaitan.
“Semasa pembentangan diadakan ia menjadi satu wadah yang cukup baik untuk berkongsi maklumat bukan sahaja kepada wakil rakyat, tetapi juga kepada mereka yang menyaksikan persidangan DUN baru-baru ini,” ujarnya. – TVS