Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Foto: Envato

Drama ‘Gadis Kretek’ lakonan Dian Sastrowardoyo tontonan ramai di 22 negara

ByBernama

KUALA LUMPUR, 1 Dis: Pelakon dan model Indonesia Dian Sastrowardoyo mencipta sejarah tersendiri apabila siri drama hebat lakonannya yang disiarkan menerusi penstriman video Netflix bertajuk “Gadis Kretek” menduduki tempat pertama dalam senarai tontonan ramai di 22 negara.

Dalam melahirkan rasa terkejut, artis itu memberi contoh siri berkenaan sedang ditonton di Argentina, Peru, Brazil, Puerto Rico dan Romania.

“Semua negara ini belum pernah saya kunjungi,” katanya sambil menambah bahawa cara orang ramai menonton filem kini sebenarnya telah berubah sepenuhnya.

Beliau bersyukur kerana peminatnya di Malaysia, Singapura dan Brunei, telah banyak memberikan sokongan penuh kepada siri drama berkenaan.

Dian juga melahirkan rasa terkejut apabila diberitahu bahawa terdapat penonton Malaysia yang memilih untuk beralih kepada audio bahasa Jawa, semata-mata untuk mendapatkan keaslian siri ini, yang berlatarkan tahun 1960-an di Indonesia.

Beliau petah bertutur dalam bahasa Inggeris, dan kadang kala beralih ke Bahasa Indonesia dalam temu bual dengan Datuk Seri Wong Chun Wai menerusi siaran webnya “RealChunWai” di YouTube dan Facebook. Rancangan selama 35 minit itu akan disiarkan pada 1 Dis mulai pukul 9 pagi.

Dian berkata beliau mengambil masa yang panjang, dan bekerja keras untuk mempersiapkan watak Dasiyah.

Dasiyah ialah watak wanita bersemangat kental, yang keluarganya memiliki kilang rokok kretek berskala kecil di bandar M.

Walaupun sangat berbakat dalam kerjanya, dengan keupayaannya mencipta pelbagai produk baharu, beliau mendapati dirinya didiskriminasi dalam industri yang didominasi lelaki, walaupun kilang itu dimiliki oleh bapanya.

Bapanya bersedia untuk mengahwinkannya dengan ahli perniagaan lain, yang juga terlibat dalam perniagaan kretek, sebaliknya Dasiyah menyukai Soeraja, seorang pekerja biasa. Ini membawa kepada implikasi yang serius, tetapi cinta suci sememangnya kekal abadi.

Untuk benar-benar menghayati watak itu, Dian menyelami watak wanita berkenan dengan melakukan beberapa pengorbanan tersendiri.

“Sebaik sahaja suami dan anak-anak saya pergi bekerja dan sekolah, saya elak daripada menonton TV, lupakan hubungan media sosial, tinggalkan kehidupan sosial, dan saya habiskan berjam-jam mendengar muzik gamelan dan klasik Indonesia,” katanya.

Dian yang turut mencipta nama untuk wataknya sebagai Kartini, srikandi pejuang pembebasan Indonesia berkata, persiapan yang sama diberikan beliau bagi watak Dasiyah.

“Saya berusaha dengan gigih untuk berjalan seperti wanita Jawa yang dihormati, anggun, dengan perawakan tertentu. Boleh dikatakan saya belajar untuk meluncur dengan sempurna,” katanya dan menambah beliau menghabiskan masa berbulan-bulan untuk belajar berjalan dengan perlahan.

Menariknya, Dian berkata suaminya yang merupakan seorang ahli perniagaan, Maulana Indraguna Sutowo, tidak mahu menonton siri drama itu, tetapi enggan menyatakan sebabnya.

Dian yang sentiasa mengutamakan keluarga berkata, beliau tidak akan bergambar swafoto apabila meluangkan masa bersama keluarga, kerana menurutnya jika dia bersetuju untuk swafoto biarpun sekali, ia akan membuka pintu kepada permintaan ramai peminat untuk berebut-rebut berswafoto dengannya. -TVS

 

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse program which are disseminated via channel 122 MYTV, UnifiTV and ASTRO. Stream live via MYTV Mana-Mana, UnifiTV and ASTRO GO apps now.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

Berita Berkaitan